Tepat pada waktu Subuh, tepatnya pada pukul 5.18 pagi, seutas nyawa telah dilahirkan ke dunia. Mendapat amanah untuk memiliki zuriat di usia yang masih muda, pastinya ada rasa teruja, namun lebih kepada perasaan takut dan gementar untuk memikul tanggung jawab ini sebaik mungkin. Masih teringat jelas pada pagi itu, saya dan suami berada di bilik bersalin dan detik-detik kelahirannya sungguh menguji mental dan fizikal malah, semua perasaan bercampur aduk di situ. Alhamdulillah, anak lelaki pertama kami selamat dilahirkan. Kehadirannya disambut dengan penuh syukur dan air mata kegembiraan. Kami sangat teruja dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu sebagai ibu bapa.
Menyusukan bayi buat pertama kalinya juga meninggalkan kesan dan keterujaan tersendiri. Melihat bayi itu melekap pada payudara dengan lincah, membuatkan saya rasa sungguh bersyukur dan terharu. Walaupun berdepan beberapa kekangan seperti bayi tidak mahu melekap, puting susu yang sakit dan bengkak, tetapi semua itu tidak mematahkan semangat untuk memberikan yang terbaik untuknya. Melihat wajahnya yang suci selepas menyusu, rasa penat hilang seketika.
Sepanjang tempoh berpantang yang memakan masa selama 44 hari, ia merupakan cabaran terbesar buat saya. Badan yang masih lemah, emosi yang tidak stabil dan perubahan hormon yang mendadak, membuatkan saya berasa sangat tertekan. Ditambah pula dengan kurang tidur kerana perlu menyusukan bayi pada waktu malam, membuatkan saya berasa sangat penat. Namun, sokongan daripada suami dan ahli keluarga yang selalu membantu, membuatkan saya mampu melalui tempoh ini dengan baik.
Melihat perkembangan anak yang kian membesar, membuatkan perasaan bangga dan gembira bercampur aduk. Setiap kali dia tersenyum, ketawa atau belajar sesuatu yang baharu, hati saya berbunga-bunga dan seronok untuk menemaninya. Melihatnya membesar sihat, ceria dan aktif, segala penat lelah yang dilalui selama ini terbayar sudah.
Menjadi seorang ibu bukanlah tugas yang mudah, namun ia merupakan pengalaman yang paling berharga dalam hidup saya. Perasaan cinta dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi, membuatkan saya sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuknya. Setiap pengorbanan dan dugaan yang dilalui, tidak sedikit pun membuatkan saya berasa menyesal. Justeru, saya berjanji untuk menjadi ibu yang terbaik buat anak saya.