JANNA NICK




Oleh Ayu Nur Alwani

Janna Nick kini bergelar isteri orang.

Aktres popular Janna Nick selamat bernikah dengan pilihan hatinya, Dini Schatzmann pada Sabtu.

Majlis akad nikah yang dilangsungkan di sebuah pusat peranginan di Kuala Lumpur itu diadakan secara tertutup dengan hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner berkongsi berita gembira itu menerusi laman Instagram miliknya.

"Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas segala-galanya. Hari ini genaplah segala impian dan doa saya. Saya Nurul Jannah Binti Muner dengan ini sah bergelar isteri kepada Mohd Dini Bin Schatzmann," tulisnya.

Dalam entri sama, Janna turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan momen indah pada hari istimewanya itu.

Sementara itu, menerusi laporan Harian Metro, Janna memberitahu sudah mengenali suaminya itu sejak lima tahun lalu.

"Kami mula rapat pada tahun lepas selepas saya pulang daripada penggambaran filem Juang. Sejak itu kami banyak meluangkan masa bersama," katanya.

Janna berkata, jodohnya itu dipertemukan oleh seorang teman baiknya.

"Saya tidak tahu yang dia kawan baik dengan suami saya sekarang. Saya dan suami pula duduk satu kawasan, tapi tidak pernah berjumpa," ujarnya.

Menurut pelakon berusia 29 tahun itu, dia sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya meskipun masih belum ada perancangan untuk menimang cahaya mata.

"Saya rasa dengan umur sekarang, sudah sesuai untuk berkahwin. Saya pun yakin dengan suami, insya-Allah. Anak belum ada dalam perancangan lagi, mahu habiskan masa berdua dulu. Sampai masanya nanti, kami akan beritahu," katanya.

Janna dan Dini mengikat tali pertunangan pada 20 Julai lalu.

Tahniah diucapkan kepada Janna Nick dan suami semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat.