patuh syariah
Pernah saya melihat satu ketika dulu seorang majikan berbangsa Cina dan beragama Buddhist/Taoist memanggil orang surau buat kenduri doa selamat di pejabatnya sebelum memulakan sebuah projek. Hampir semua kakitangannya orang Melayu. Semasa berdoa dia turut ada bersama tunduk mendengar walaupun tidak mengangkat tangan berdoa. Begitu juga beberapa kakitangan non-muslim yang ada di situ.
Jika mengikut pemahaman orang Melayu sekarang itu tidak boleh kerana Cina itu kafir, bagaimana seorang kafir boleh menganjurkan upacara orang Islam. Atau apa-apa saja yang sharie-compliant. Tetapi pada zaman itu orang tidak memikirkan sampai ke situ.
Dan majikan Cina ini tidak pernah menghalang kakitangannya beribadah malah menggalakkan seperti memberi lebih masa dan ruang untuk solat dan jika di bulan Ramadan dia mengagih-agihkan buah kurma kepada kakitangan untuk meraikan ibadah puasa.
Saya tahu ramai lagi majikan tak kira bangsa dan agama apa yang berbuat sama seperti dia. Malah di setengah kejiranan atau kampung ada individu non-muslim yang turut menyumbang untuk program keagamaan termasuklah ibadah korban, walaupun mereka tahu sumbangan mereka tidak memberi makna di sudut agama Islam, tapi cukup berpuas hati dengan tindakan mereka..
Kita tanya majikan yang tadi kenapa dia buat itu. Dia menjelaskan: Ya, benar saya bukan Muslim dan kepercayaan saya amat berbeza. Kami percaya kepada dewa-dewa, hantu dan tok nenek. Tetapi saya hormat kepercayaan kamu. Saya faham konsep rezeki dan kesyukuran. Malah dalam hati kecil saya, saya sedar kewujudan Yang Maha Pencipta dan Pemberi Rezeki. Jika saya tidak dapat menyatakan terima kasih cara saya kepada Dia, saya cukup gembira jika kakitangan saya yang rata-rata orang Muslim melakukannya. Rezeki saya ini, walaupun saya majikan, adalah perkongsian dengan kakitangan saya, yang juga bersama saya bertungkus-lumus mendapatkannya.
Dan orang Melayu memang gembira jika kawan-kawan bukan Islam memahami cara kita, ibadah kita dan kepercayaan kita. Kita kata itu toleransi. Saling menghormati. Intipati kepada perpaduan dan keharmonian kaum.
Dulu di zaman persekolahan kita tak takut pergi makan minum di rumah kawan-kawan Cina dan India kerana ibu bapa mereka tahu apa yang halal dan haram untuk kita. Itu dulu.
Menyingkap lewat tahun 1970an dan awal 1980an apabila "kesedaran Islam" menyerap masuk ke negara kita dengan wujudnya gerakan usrah dan pengenalan kepada mini telekung yang mendefinasikan semula aurat wanita dalam berpakaian. Ada sesetengah mendakwa hal itu tercetus atau mendapat inspirasi daripada Revolusi Iran 1979, tetapi saya tak berani hendak membenarkan tanggapan ini.
Maka bergerak dari situ amalan dan budaya orang Melayu mula diperinci, dikaji dari segi syarak untuk menghindar "kesesatan". Memang ada perkara-perkara yang kita buat dulu berunsur syirik atau bidaah "menyerupai" amalan agama lain. Maka banyaklah perkara adat dan tradisi orang Melayu difatwakan haram atau paling tidak digesa meninggalkannya perlahan-lahan. Saya sebut sedikit seperti mandi safar, pemujaan ruh (tok nenek), bersanding, makan di kedai Cina/India, menyebut perkataan babi, dan macam-macam lagilah.